Search

Wednesday 5 June 2013

Cadangan Persempadanan Semula Kawasan PBT di Johor @KhaledNordin


Mohamed Khaled Nordin menyarungkan Pingat Kebesaran Datuk Bandar kepada Ismail Karim selepas beliau menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar Johor Bahru yang berlangsung di Dewan Inai Majlis Perbandaran Johor Bahru, Johor, semalam.

 
JOHOR BAHRU 4 Jun - Kerajaan negeri bercadang membuat persempadanan semula 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam negeri ini sebagai langkah memastikan peranan dan tanggungjawab badan berkenaan terus diperkukuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persempadanan itu dilihat salah satu langkah terbaik untuk memperkukuh pentadbiran dan perancang pembangunan di kawasan perbandaran.

Beliau berkata, cadangan itu juga diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya menjadi lebih cekap dalam memberi pelbagai perkhidmatan untuk memenuhi kehendak pelanggan terutama pembayar cukai dan warga bandar raya.

"Kepesatan pembangunan dan kesedaran orang awam terhadap sistem penyampaian PBT menjadi isu penting dalam konteks pentadbiran khususnya di peringkat kerajaan tempatan.

"Kecekapan dan keberkesanan sesebuah PBT dalam menangani isu-isu setempat bergantung kepada keupayaan kewangan, struktur organisasi dan pelaksanaan serta penguatkuasaan sistem perundangan sedia ada," katanya ketika berucap dalam majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kelapan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, bekas Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim dilantik menjadi Datuk Bandar baharu menggantikan Burhan Amin.

Mohamed Khaled berkata, dalam merealisasi segala transformasi dan rancangan itu peranan ahli-ahli majlis amat penting memandangkan pelantikan mereka bertujuan membentuk dan menggubal dasar, merancang serta mengawasi pelaksanaan program pembangunan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Bandar Selamat yang diperkenalkan sejak 2004 bertujuan mewujudkan bandar dan pekan lebih selesa serta selamat akan diperkemas dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan umum serta penyelenggaraan prasarana setempat.

"Johor mendapat peruntukan besar dalam melaksana langkah-langkah pencegahan jenayah dan peruntukan itu digunakan untuk penyediaan lampu jalan, pengasingan laluan pejalan kaki daripada laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan serta penggera keselamatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua agensi terlibat secara langsung bagi menjayakan program bandar selamat tersebut dan tidak melepaskan tanggungjawab kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PBT semata-mata.

No comments:

Post a Comment